MALAYSIA terus menjadi destinasi pilihan pelumba antarabangsa apabila IAME Siri Asia bukan sekadar dinanti, malah berjaya mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah kejohanan itu di rantau ini.
Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, tarikan Malaysia bukan semata-mata disebabkan faktor kos, sebaliknya kemesraan rakyat serta suasana perlumbaan yang membuatkan pelumba luar negara mahu kembali.
“I think what I have gathered so far from the community is that they love Malaysia in general because of the people, people are welcoming, the food, the ambience and the track itself is great,” katanya, ditemuo di LYL International Karting Circuit.
Lebih membanggakan, pusingan keenam IAME Siri Asia 2026 itu menyaksikan 122 pelumba berdaftar, mengatasi 119 pelumba pada pusingan sebelumnya sekali gus mencipta rekod baharu penyertaan satu jenama tertinggi bagi siri kejohanan di rantau ini.
Menurut Daniel, kehadiran pelumba antarabangsa dari Australia dan beberapa negara lain membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri meskipun mereka perlu menanggung kos lebih tinggi untuk beraksi di negara ini.
“They are actually paying more to come to race here, but they are happily paying that because they feel welcome, they feel happy to be a part of this amazing country and community,” katanya.
Malah, katanya, sebuah pasukan dari Australia menyatakan mereka berasa lebih dialu-alukan ketika memasuki kawasan paddock di Malaysia berbanding pengalaman mereka ketika berlumba di negara sendiri.
“When we walked into the paddock, we felt very welcome to be racing here, unlike when we are racing at home,” katanya sambil menyifatkan layanan itu sebagai antara kekuatan utama Malaysia.
Bagi memastikan pelumba luar negara tidak berdepan kesukaran, pihak penganjur turut menyediakan bantuan menyeluruh merangkumi penginapan, hubungan dengan pasukan tempatan, urusan kastam serta logistik dari gudang ke litar.
Daniel berkata, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia turut membantu perkembangan IAME Siri Asia dan membuka ruang lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab sukan permotoran.
“Next year is the year that we want to start growing the motorsport scene in Malaysia by creating Kinex Motorsport in Malaysia, to bring everything back to Malaysia and make it a hub, our headquarters of operations here in Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, IAME Siri Asia turut memperkukuh laluan pembangunan pelumba menerusi Kinex Rising Stars Academy, IAME Straits Cup serta akademi menggunakan kereta formula bagi memberi peluang kepada pelumba muda membina kerjaya secara berperingkat.
Daniel berkata, beberapa nama yang pernah beraksi dalam IAME Siri Asia termasuk Bianca Bustamante, Yvan David, Christian Ho dan pelumba negara Putera Adam kemudian meneruskan perkembangan karier masing-masing dalam perlumbaan formula serta GT.
Malah, penganjuran siri berkenaan turut memberi limpahan ekonomi apabila Daniel menganggarkan sekitar RM15 juta dibawa masuk ke Malaysia menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026, sepanjang penganjuran beberapa pusingan tahun ini, berdasarkan kira-kira 500 penyertaan dan kehadiran mekanik, keluarga serta penyokong pelumba.