BROMO, sebuah tempat percutian yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Pemandangan yang begitu memukau terutama waktu matahari terbit cukup indah.
Kedinginan yang mencengkam tulang sehingga mulut mengeluarkan asap ketika bersembang memberi pengalaman unik.
Ingatkan momen sebegitu hanya boleh didapati di negara empat musim, tetapi dirasai di negara tetangga.
Sebab itulah, ia menjadi destinasi wisata yang cukup popular di Republik Indonesia. Terletak di Jawa Timur, kecantikan Gunung Bromo ibarat lukisan yang hidup.
SEJUKNYA BROMO!
Gunung Bromo memiliki ketinggian 2,329 meter dari paras laut dan merupakan gunung berapi yang masih aktif di dalam Taman Nasional Bromo Tengger Semeru.
Dikelilingi ‘lautan’ pasir dikenali pasir Berbisik, ia menjanjikan pengalaman bercuti yang sangat berbaloi.
Suasana yang best ini boleh dirasai seawal 3 pagi, dengan menikmati secangkir kopi panas atau mi goreng sedap Indomie bersama telur mata yang dijual di warung-warung di situ. Suhu ketika waktu ini boleh mencapai 1 darjah celcius yang memaksa pelancong memakai baju sejuk.
Namun, bagi pengunjung “mat saleh’ yang sudah terbiasa dengan sejuk, mereka begitu tenang dan santai sedangkan ada pelancong yang menggigil menahan kesejukan.
Maka, ramailah yang duduk berdekatan dengan unggun api, malah ada yang berseloroh “lebih baik tidur la daripada duduk sini 3 pagi”.
Sebenarnya, pelancong memang perlu berada awal di situ jika mahu menyaksikan panorama matahari terbit yang menggetarkan pemandangan. Pengalaman menaiki jeep berwarna-warni menuju ke “view point” sangatlah best.
CANTIKNYA BROMO SELEPAS TERBIT MATAHARI
Menghampiri jam 5 pagi atau selesai Subuh, masing-masing mula berjalan menuju ke “view point” matahari terbit. Sedikit demi sedikit, langit yang mulanya gelap bertukar jingga.
Detik itu cukup menyeronokkan kerana mata tertumpu kepada Gunung Bromo yang turut menghembuskan debu, ibarat terjaga daripada tidur.
“Subhanallah, Ya Allah.. Allah Maha Besar” itulah yang terkeluar daripada mulut tatkala melihat kebesaran Allah menciptakan alam yang cukup unik, cantik dan memukau ini.
Saujana mata memandang dikelilingi tumbuhan hijau begitu mempesonakan. Melihat gunung itu mengeluarkan debu sangat mengujakan. Pokok bunga tumbuh segar dan berwarna-warni menyerikan pemandangan.
Sinar suria yang memancar menyinari kawasan ini terus dijadikan “lighting natural” untuk merakamkan video dan gambar kenangan. Automatik, hati berkata, kena datang lagi ke sini.. view mahal.
Bagaimanapun, inilah cabarannya kerana ramai yang berlumba-lumba untuk mengabadikan kenangan. Jadi, kena berhati-hati kerana tersilap langkah, boleh terjatuh ke bawah.
PASIR BERBISIK
Selepas puas merakamkan puluhan video dan ratusan gambar, perjalanan diteruskan ke Pasir Berbisik. Meskipun matahari sudah menegak, suhu masih dingin.
Disini, pelancong boleh menaiki kuda untuk ke kawah Bromo. Kemudian, perlu mendaki anak-anak tangga sekiranya mahu melihat kawah gunung berapi yang mengeluarkan bau busuk sulfur.
Padang pasir yang terbentang luas ini juga sesuai dijadikan port “Instagram”. Ada pasir putih, ada pasir hitam dan kuda yang anda tunggang akan membawa anda bersiar-siar.
Bukit-bukit yang menghadangi padang pasir ini menambahkan lagi nilai estetika gambar. Pelbagai aksi dan gaya supermodel boleh dibuat.
MURAH DAN BERBALOI
Mungkin ramai yang risau “over budget” apabila hendak bercuti di Bromo. Sebenarnya, anda boleh bercuti selama enam hari lima malam dengan kos RM1500, itupun kalau mengenali pengendali wisata di sana.
Digalakkan pergi dalam berkumpulan maksimum 8 orang supaya boleh dapat harga sedemikian.
Mesti tertanya, takkan bayar RM1500 untuk tengok gunung jer? Sebenarnya, selain Gunung Bromo, boleh la singgah di Tumpak Sewu, Air Terjun Madakaripura, Kota Malang, Water Rafting di Sungai Songa dan Gunung Semeru.
Bila dah singgah tu, boleh cuba menikmati Jus Alpukat, Wong Solo, Jus Jeruk dan pelbagai lagi menu popular yang diagungkan dalam kulinari Indonesia tetapi, mi goreng Indomie juga yang jadi pilihan.