Liga ASEAN lonjak impian MMA ke pentas Sukan SEA

PERSATUAN Seni Bela Diri Campuran Global (GAMMA) merancang menubuhkan Liga MMA ASEAN seawal tahun depan dalam usaha memperkasakan sukan tempur itu di Asia Tenggara sekali gus mengukuhkan peluang untuk disenaraikan sebagai acara rasmi pada Sukan SEA 2027.

Naib Presiden GAMMA, Jovinus C Lagawa berkata, cadangan itu mendapat maklum balas positif apabila lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina sudah menyatakan persetujuan untuk memulakan liga berkenaan.

Menurutnya, perbincangan bersama wakil negara ASEAN berlangsung ketika Kejohanan MMA Asia GAMMA di Putrajaya dengan Indonesia berpotensi menjadi tuan rumah pusingan pertama sebelum saingan diteruskan ke Malaysia, Kemboja dan Thailand secara bergilir.
"We hope that the MMA league will start soon... the future of MMA in Southeast Asia is very promising," kata Jovinus yang melihat liga itu mampu menjadi platform terbaik melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Beliau berkata, pencapaian atlet Asia Tenggara pada Kejohanan MMA Asia membuktikan rantau ini semakin mampu mencabar kuasa besar apabila Malaysia muncul dengan tiga pingat emas, selain Indonesia (5), Thailand (3) dan Filipina (3) turut menampilkan prestasi membanggakan.

Uzbekistan mengungguli kejohanan itu dengan meraih 11 emas, diikuti Kazakhstan (7) dan Krgysztan (6).

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan atlet ASEAN memiliki kualiti untuk bersaing di pentas dunia sekali gus membuka ruang lebih besar kepada pembangunan MMA di rantau ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Malaysia (MASMMAA), Dr Alvin Cardall Chong berkata, kejohanan Asia yang julung kali dianjurkan di Malaysia menjadi platform penting memperkenalkan MMA kepada pemegang taruh sukan negara.

Beliau berkata, penganjuran itu juga menjadi medan terbaik membuktikan Malaysia memiliki kemampuan menganjurkan kejohanan antarabangsa selain melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat Asia.

"Kami masih cuba betul-betul untuk masukkan sukan ini ke SEA Games tahun depan dan kami tidak akan putus asa, malah akan terus membuat rayuan," katanya.
Dr Alvin berkata, MASMMAA turut menggerakkan pelan pembangunan jangka panjang menerusi penubuhan lebih banyak persatuan negeri, program pembangunan belia serta kejohanan kebangsaan sebagai syarat mengukuhkan kedudukan badan induk itu.

Menurutnya, ketika ini MASMMAA sudah mempunyai tujuh ahli gabungan negeri dan akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan bagi memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

Beliau yakin gabungan Liga MMA ASEAN dan pembangunan akar umbi yang sedang dirancang mampu menjadi pemangkin untuk menjadikan Malaysia antara kuasa baharu seni bela diri campuran di rantau ini serta merealisasikan impian melihat MMA dipertandingkan secara rasmi di Sukan SEA.