CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) terus memperkukuh kerjasamanya dengan Samsung Malaysia Electronics dengan memperkenalkan barisan baharu peranti rumah pintar melalui program CUCKOO Smart Healthy Home Co-Created Programme with Samsung.
Fasa terbaharu program tersebut menyaksikan pelancaran tiga produk premium iaitu Smart Washer Dryer, Smart TV dan Smart Tablet, yang kini ditawarkan kepada pengguna melalui model sewaan buat pertama kali.
Langkah ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati teknologi pintar terkini tanpa perlu menanggung kos permulaan yang tinggi, sekali gus menjadikan gaya hidup rumah pintar lebih mudah diakses.
Program yang sebelum ini diperkenalkan sebagai projek perintis dengan penawaran pembelian terus kini diperluaskan melalui model sewaan, selaras dengan kekuatan utama CUCKOO Malaysia dalam menawarkan penyelesaian mampu milik kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, pembaharuan program itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa inovasi teknologi yang lebih inklusif kepada pengguna.
“Segmen perniagaan CUCKOO Co-Created dibina atas semangat sinergi bagi membuka nilai baharu kepada pelanggan. Melalui pengenalan model sewaan yang dinantikan ramai, kami mahu menjadikan gaya hidup pintar dan sihat lebih mudah dicapai oleh setiap isi rumah,” katanya.
Menurut beliau, gabungan kepakaran teknologi Samsung dengan model sewaan CUCKOO membolehkan pengguna menikmati ekosistem rumah pintar yang lebih menyeluruh.
Peranti yang diperkenalkan juga disepadukan dengan platform Samsung SmartThings, yang membolehkan pengguna mengawal pelbagai peranti rumah pintar secara lebih mudah melalui satu sistem bersepadu.
Inisiatif ini dilihat sebagai respons kepada perkembangan pesat teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan permintaan terhadap penyelesaian rumah pintar dalam kalangan pengguna.
Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua syarikat berharap dapat memperluaskan akses kepada teknologi pintar sambil menyokong aspirasi gaya hidup sihat dan moden dalam kalangan rakyat Malaysia.




