KES pembunuhan pelajar berusia 16 tahun di Bandar Utama kembali mengundang persoalan apabila mahkamah membebaskan tertuduh selepas mendapati dia tidak siuman ketika melakukan perbuatan tersebut.
Tertuduh yang berusia 14 tahun dilaporkan telah menikam mangsa sekurang-kurangnya 180 tikaman dan kecederaan kelar.
180 tikaman!. Angka itu bukan sekadar angka dalam laporan perubatan.
Di sebaliknya ada seorang anak perempuan yang keluar untuk menjalani hari seperti biasa, tetapi akhirnya tidak pernah pulang ke rumah.
Tertuduh kemudiannya diperintahkan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Bagaimana keluarga mangsa hendak menerima sebuah keputusan yang sah di sisi undang-undang, tetapi pada masa sama terpaksa hidup dengan kehilangan anak selama-lamanya?.
Keadilan untuk siapa? Bagi masyarakat yang hanya melihat angka 180 tikaman, mungkin mudah untuk bertanya:
“Kenapa tidak dihukum?”
Undang-undang Perlu Melindungi Semua.
Dalam kes ini, mahkamah bukan mengatakan nyawa mangsa tidak penting.
Sebaliknya, keputusan dibuat berdasarkan penemuan bahawa tertuduh tidak siuman ketika kejadian dan kemudiannya ditempatkan untuk rawatan psikiatri.
Mahkamah mungkin mempunyai alasan sendiri di sisi undang-undang, tetapi bagi keluarga mangsa, satu hakikat tetap tidak berubah anak mereka sudah tiada.
Ketidakwarasan di sisi undang-undang bukan semata-mata bermaksud seseorang mempunyai masalah kesihatan mental. Ia berkaitan keupayaan seseorang memahami sifat perbuatannya atau mengetahui bahawa perbuatannya salah ketika kejadian berlaku.
Namun apa yang lebih jelas, kes ini bukan sekadar tentang kehilangan seorang anak, tetapi tentang bagaimana ianya boleh terlepas daripada perhatian pihak sekolah mahupun keluarga suspek.
Adakah keluarga, sekolah dan sistem kesihatan mental mempunyai ruang yang cukup untuk mengenal pasti remaja yang memerlukan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius?
Kerana selepas tragedi berlaku, kita hanya mampu mencari jawapan. Tertuduh mungkin ditempatkan di institusi psikiatri. Fail mahkamah mungkin ditutup. Tetapi bagi keluarga mangsa, tiada istilah “kes selesai”.
Mungkin mereka tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka cuma mahu kematian anak mereka mempunyai makna. Mereka mahu sistem menjelaskan kepada mereka mengapa keputusan itu dibuat.
Dan yang paling penting, mereka mahu yakin bahawa keadilan tidak berhenti apabila seseorang didapati tidak waras.
Di antara kedua-duanya berdiri sebuah sistem keadilan. Sistem yang bukan sekadar perlu menghukum apabila seseorang bersalah, tetapi juga perlu memastikan keluarga mangsa memahami keputusan, masyarakat dilindungi dan tragedi serupa tidak berulang.
Kerana bagi keluarga mangsa, kes mungkin berakhir di mahkamah, tetapi kehilangan tidak pernah berakhir begitu sahaja biarpun sedar menuntut keadilan bagi seorang anak yang tidak akan pulang lagi itu jauh lebih perit.
Dan mereka hanya mahu satu perkara — jangan biarkan anak mereka dilupakan.