THANK YOU, TZE YONG !

NG Tze Yong memilih untuk melupakan seketika dunia pertandingan dan memberi sepenuh tumpuan kepada proses pemulihan apabila sah meninggalkan skuad kebangsaan selepas mencapai persetujuan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkuat kuasa 30 Jun ini.

Keputusan itu membuka lembaran baharu buat perseorangan lelaki berusia 26 tahun berkenaan yang mahu memastikan dirinya kembali cergas sepenuhnya sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam karier profesional.

Selepas berdepan siri kecederaan serius sejak dua tahun lalu, fokus utama Tze Yong kini bukan memburu gelaran atau ranking dunia, sebaliknya memulihkan keadaan fizikal dan mental untuk kembali lebih kuat ke gelanggang.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas segala peluang, bimbingan dan sokongan yang saya terima sepanjang berada dalam pasukan kebangsaan.

"Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan besar buat saya dan saya amat menghargai semua individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan karier saya.

"Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.

"Saya akan mengambil sedikit masa menjauhkan diri daripada pertandingan untuk memberi tumpuan kepada proses rehabilitasi sebelum kembali ke gelanggang dan memulakan fasa baharu karier saya," kata Tze Yong, kepada BAM.

BAM dalam kenyataannya memaklumkan keputusan perpisahan itu dicapai selepas perbincangan mendalam dengan kedua-dua pihak bersetuju ia adalah pilihan terbaik demi perkembangan karier pemain berkenaan pada masa depan.

Tze Yong pernah muncul antara perseorangan lelaki terbaik negara apabila mendaki ranking ke-14 dunia pada November 2023 selain membantu Malaysia memenangi emas berpasukan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta emas berpasukan campuran dan perak perseorangan lelaki di Sukan Komanwel 2022.

Namun kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada tahun berikutnya yang memerlukan pembedahan serta proses rehabilitasi panjang merencatkan kemaraan kariernya ketika berada di fasa terbaik.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Tze Yong meninggalkan badan induk itu dengan penuh penghormatan selepas memberikan khidmat cemerlang kepada negara.

"Tze Yong adalah anggota penting pasukan kebangsaan yang sentiasa membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa, dan walaupun kecederaan menjejaskan perkembangannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ketabahannya sepanjang proses pemulihan amat mengagumkan.

"Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah laluan terbaik buat masa ini, dan bagi pihak BAM saya ingin merakamkan penghargaan atas segala sumbangannya kepada badminton Malaysia serta mendoakan kesihatan yang baik dan kejayaan berterusan dalam apa juga langkah yang bakal diambil selepas ini," katanya.