JAGUH badminton beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mencipta detik gemilang apabila masing- masing ditabal selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025.
Atlet para berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin, dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, anugerah menjadi milik atlet para renang negara, Lim Carmen.
Penyampaian empat anugerah utama itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan Anugerah Kepimpinan Sukan kepada Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan.
Turut hadir menyampaikan anugerah, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.
Kejayaan Tan Jie dan Ee Wei turut mencipta sejarah baharu ASN kerana ia adalah kali pertama dua atlet daripada acara campuran diberi penghormatan memenangi dua anugerah utama.
Tan Jie mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu Si Shin Peng (wushu), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling), Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat) serta Abdul Aziz Ahmad (bina badan) manakala Ee Wei menewaskan Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling), Emma Firyana Saroji (lawn bowls) serta dua atlet wushu negara, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee.
Mohammad Yusof pula meraih gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan setelah melakar sejarah muncul atlet para berbasikal pertama negara bergelar juara dunia menerusi acara pecut 200 meter kategori MC1 pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Pencapaian cemerlang Carmen di temasya Sukan Para ASEAN 2025 menyaksikan dia diangkat selaku Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.
Pemenang empat anugerah utama itu menerima piala pusingan, trofi dan hadiah wang tunai RM20,000 setiap seorang.
Dalam pada itu, pasukan sepak takraw negara dinobatkan sebagai Pasukan Lelaki Kebangsaan, manakala pasukan wushu negara yang dibarisi Tan Cheong Min, Pang Pui Yee dan Lee Jia Rong meraih gelaran Pasukan Wanita Kebangsaan.
Ahmad Jais Baharun melengkapkan hari gemilang sukan sepaktakraw apabila memenangi Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan sementara Nor Hamizah Abu Hassan dari sukan pencak silat dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan.
Anugerah Khas diberikan kepada bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times yang juga bekas Pengarang Sukan Berita Harian, Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun.
Dua lagi Anugerah Khas diberikan kepada Kelab Renang Ikan Bilis dan Petronas sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kedua-dua institusi itu dalam pembangunan sukan tanah air.
Diperkenalkan sejak tahun 1966, Anugerah Sukan Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai pencapaian cemerlang atlet, jurulatih, pegawai dan organisasi sukan yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.